Sunday, December 4, 2016

Hari terakhir persekolahan 2016

Aku berterima kasih sekali  lagi kepada pihak sekolah kerana memberi peluang berucap dalam majlis ini pada 25 November 2016..  Hari terakhir persekolahan bagi sesi 2016 juga merupakan kali terakhir aku berjumpa dengan semua murid SKMT.
  Perpindahan aku ke sekolah ini penuh misteri.  Pertukaran yang ku jangkakan tidak diluluskan oleh Bahagian Sumber Manusia kerana pada awalnya permohonanku ditolak melalui telefon. Aku sebenarnya memohon pertukaran antara daerah dan antara negeri sekaligus. Aku sendiri berjumpa dengan pegawai pertukaran di PPD Kuala Selangor. Memang aku sendiri pergi berulang alik, antar borang dan sendiri tanya status pertukaranku.  Syukurlah akhirnya aku berkhidmat di sekolah ini selama 3 tahun , daripada tahun  2014 hingga 2016.  Dari sekolah yang jauh 121km pergi balik, Sekolah Kebangsaan Sungai Sireh, Selangor ke Sekolah Kebangsaan Masjid Tanah, jaraknya 18 km pergi balik, kini semakin dekat 12.5 km pergi dan balik.  Syukur , Alhamdulillah, dalam kepayahan terbayar juga, akhirnya setelah penat merantau, jauh iaitu dari  Selangor ke  Pulau Pinang, ke Melaka, ke Sabah dan ke Melaka semula, aku umpama sirih pulang ke gagang.
  Dalam majlis ini semua murid dan guru serta staf berkumpul di dewan tepat pukul 11.00 pagi.  Sekali lagi aku berucap di hadapan semua guru, murid dan staf. Ucapanku kali ini ku tujukan kepada murid-murid agar belajar dengan rajin dan mempunyai visi serta misi.  Harapanku agar mereka berjaya kelak dalam hidup sama ada di dunia dan akhirat.
  Kemudian,  ucapan daripada pihak pentadbir dan wakil guru. Acara seterusnya penyampaian hadiah daripada panitia, guru dan murid-murid.  Aku memohon agar segala kesalahan dan keterlanjuran kata-kata dan kekasaran  tingkah lakuku terhadap semua murid sama ada memarahi mereka, merotan mereka atau mendenda mereka.  Bukan niat cikgu membenci tetapi marah cikgu adalah untuk mendidik. Denda adalah sebagai pengajaran untuk berubah.
    Sekian diharapkan walaupun berpisah dari sempadan sekolah tetapi diharapkan perhubungan persahabatan dan persaudaraan akan tetap wujud selagi nyawa dikandung badan selagi itu nafas perhubungan terus  berdenyut .....aamiin





















 

                                                punch card kali terakhir pada 25/11/2016
                                            Hadiah-hadiah daripada warga SKMT
                                           Bergambar lagi....
 
   
 

3 Majlis dalam satu SKMT 2016

  Jamuan Akhir Tahun, Majlis Apresiasi Guru dan Staf SKMT 2016 dan Majlis "Serumpun Kasih Sehening Budi" adalah lambang penghargaan dan penutup bagi tahun 2016 untuk semua guru, staf, pekerja dan AJK PIBG .
   Majlis ini diadakan pada 24 November 2016 di Hotel Equatorial, Melaka pada jam 2.00 petang hingga 5.00 petang. Aku bersyukur kerana majlis dibuat pada waktu petang.  Aku mengikut rombongan Che Liza, bersama-sama aku ialah pekerja Pn Hamidah, Pn Mahdatul Annur dan pemilik kereta Pn Siti Nolizah , pemandu yang cekap dengan juru pandu arah Pn Mahdatul Annur. Terima kasih kerana menerima kami sebagai rombongan Che Lizah.
   Kami sampai di hotel dan bersembahyang di surau tingkat 6.  Majlis diadakan di tingkat 3. Brosur ini akan memberi gambaran peristiwa yang berlaku semasa majlis ini..
















Aku berterima kasih kepada guru besar, barisan pentadbir GPK, guru-guru, AJK PIBG , staf dan pekerja sekolah yang memberi peluang kepada aku untuk berucap dan memasang telinga mendengar kali terakhir   dalam majlis ini. Terima kasih kerana memberi penghargaan yang tidak terhingga kepada aku. Majlis potong kek perpisahan dan hadiah daripada pihak sekolah serta badan kebajikan.

                             
  
Hadiah daripada pihak pengurusan - terima kasih hadiah wang tunai, kain sutera untuk dibuat baju dan sijil penghargaan.
                                                       Hadiah daripada kelab staf




Sekali lagi diakhiri dengan serangkap pantun lama yang tidak akanlekang dek panas dan  lapuk dek hujan

Kalau ada jarum yang patah,
Jangan disimpan di dalam peti
Kalau ada silapdan salah
Jangan disimpan di dalam hati

Hendak menanam pokok kailan.
Jangan ditanam di tepi paya,
Sekiranya berjumpa di perjalanan,
Bertegur sapalah dengan saya.

Semoga SKMT Cemerlang, Gemilang dan Terbilang...aamiin.

Majlis "Serumpun Kasih Sehening Budi"

3 Majlis dalam satu bermakna buatku.  Majlis Jamuan Akhir Tahun, Majlis Apreasiasi Guru dan Staf SKMT 2016 dan Majlis "Serumpun Kasih Sehening Budi" begitu bermakna bagiku.  Majlis Jamuan Akhir Tahun menandakan jamuan akhir tahun bagi semua guru, ajk PIBG dan staf serta pekerja sekolah
  Majlis Serumpun kasih Sehening Budi dikhaskan buatku sempena majlis pertukaranku .  Selama tiga tahun bukanlah masa yang panjang, hanya tiga tahun sahaja aku berkhidmat di sekolah ini iaitu pada 2014-2016.  Aku amat berterima kasih kepada guru besar, barisan GPK, ajak PIBG sekolah, staf dan pekerja sekolah yang memberikan kerjasama semasa aku berkhidmat di sekolah ini.
  Aku sebenarnya tidak pandai berucap dan teks ucapan di dalam majlis tersebut boleh dikatakan spontan.  Aku benar-benar tidak bersedia.  sebelum bergerak ke Hotel Equatorial, aku wassap sahaja kepada suamiku, minta rangka ucapan.  Syukur setibanya di hotel, wassapku berjawab.  Berdasarkan rangka tersebutlah aku memberikan ucapan.
  Di dalam majlis tersebut , aku diberi penghargaan kerana mengajar tahun 6, dan sedikit sebanyak kejayaan yang diraih dari tahun 2014-2016. Terima kasih kepada pihak sekolah kerana menerima aku yang banyak kekurangan .
  Majlis diadakah dengan memotong kek perpisahan , dihiburkan dengan nyanyian Cikgu Azwan Nazreensyah, En Zainuddin, Pengerusi PIBG dan  Si Fifi.  Dalam majlis ini dianugerahkan kepada guru-guru yang berkhidmat dengan cemerlang dengan beberapa anugerah seperti yang tercatat dalam brosur.
   Akhir sekali aku selitkan pantun orang lama .
       Pucuk pauh delima batu,
          Anak sembilang di tapak tangan,
      Saya pergi tidaklah beribu batu,
          Hilang di mata di hati jangan.



                                          Ucapan kali terakhir untuk guru yang berpindah      
                  Kek khas untuk pertukaran sekolah yang disediakan oleh badan kebajikan staf 2016