Suamiku beria-ia hendak pergi. Kami meneruskan perjalanan menuju ke Bandar Tasik Kesuma, Beranang. Kalau ikut jarak yang disetkan 126 km. Kami bergerak lebih kurang pukul 4.30 petang dan dianggarkan sampai pukul 6.40 petang.
Sebaik sahaja sampai, baharulah suamiku tahu bahawa jemputan tersebut adalah daripada sepupunya yang bernama Osman bin Zainal, Dia mengadakan majlis perkahwinan anaknya yang bermula pada pukul 5.00 petang hingga 10 malam. Bagiku , itulah majlis perkahwinan kedua yang kuhadiri pada waktu malam .
Kami dapati ramai tetamu yang meraikan majlis perkahwinan antara Asyraf dengan Zahidah. Suamiku terlebih dahulu mengambil makanan sementara aku pula sibuk meninjau-ninjau menu yang disediakan. Ku lihat banyak kiosk makanan seperti menu nasi dengan lauknya, kambing panggang dengan roti, kentang dan saladnya, pisang goreng cheese, cendawan goreng, air batu campur, pecal atau rojak dan yang lain-lain tidak sempat kujelajahi.
Tiba-tiba namaku dipanggil. aku memandangnya, semacam kenal tetapi takut pelanduk dua serupa.
Aku pun meneka, namun tekaanku salah. Dia pun mengenalkan dirinya, Azah. Oh, Azah rakan sekolahku semasa tingkatan enam rendah dan enam atas di Sekolah Menengah Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor. . Kami berpisah sebaik sahaja selesai Sijil Tinggi Persekolahan (STP) pada tahun 1981. Sejak itu kami tidak pernah bersua sehinggalah tanggal yang bersejarah ini. Tarikh keramat jadinya pada 10 Disember 2016, pukul 6.50 petang.
Kemudian kami berbual mesra. Suamiku melilau mencariku kerana aku masih belum mengambil makanan. Akhirnya , dia menghampiriku lalu aku memberitahunya hal yang sebenarnya.
Itulah pertemuan yang tak diduga. Sekiranya kita rasa kawan kita tegurlah, kalau salah minta maaf . Kawanku sungguh yakin dan katanya aku masih tak berubah seperti dahulu. Syukur, Alhamdulillah sesungguhnya orang Melaka dan orang Selangor berjumpa di Bandar Tasik Kesuma, kerana meraikan pengantin. Dia menghadiri majlis perkahwinan anak kawan sekerja manakala kami meraikan majlis anak sepupu sebelah arwah ayah suami.

Gambar sebagai kenangan setelah 35 tahun terpisah, Azah masih juga seperti dahulu, raut wajahnya sama seperti zaman persekolahan.
No comments:
Post a Comment